Kesalahan dan Kesilapan Suami Terhadap Isteri
BY · PUBLISHED
Dalam institusi perkahwinan, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding wanita. Tanggungjawab suami atau lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud:
“Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka. Walaubagaimanapun, pada hari ini kita melihat ramai suami yang semakin jauh dari tanggungjawab dan tugas mereka yang sebenar. Mungkin, kerana itulah banyak rumahtangga yang runtuh akibat kurangnya penghayatan suami kepada nilai-nilai murni dalam baitul muslim yang dibina. Berikut disenaraikan 10 kesalahan dan kesilapan suami terhadap isteri mereka yang sering dilakukan.
Kesalahan dan Kesilapan Suami Kepada Isteri
1. Tidak mengajarkan AGAMA dan HUKUM syariat kepada isteri.
Banyak kita dapati para isteri tidak mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas, bertingkahlaku/berperilaku terhadap suami secara tidak syar’ie dan tidak mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak dan menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dan sebagainya. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami.
Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang–orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan.” (Surah At-Tahrim:6)
Para suami hendaklah mengajarkan agama kepada isteri mereka sama ada secara langsung ataupun melalui perantaraan. Melalui perantaraan itu contohnya menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya. (yang paling praktikal, ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid). Maka, amat penting bagi para suami untuk mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke alam rumahtangga.
2. Suka mencari kekurangan dan kesalahan isteri.
Dalam suatu hadith riwayat Bukhari & Muslim, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki yang berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam, kerana dikhuatiri akan mendapati berbagai kekurangan isteri dan cela isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya. Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda Rasulullah:
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {Hadith riwayat Muslim}
3. Memberi hukuman yang tidak sesuai dengan kesalahan isteri.
Ini termasuk bentuk kezaliman terhadap isteri, iaitu:
a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman (sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34)
b) Mengusir isteri dari rumahnya tanpa ada kebenaran secara syar’ie (sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq : 1)
c) Memukul wajah, mencela dan menghina.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:“Hendaklah engkau memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)
4. Culas dalam memberi nafkah kepada isteri.
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah : 233)
Isteri berhak mendapatkan nafkah dari suami, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa pengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:“Jika seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)
5. Sikap keras, kasar, tidak lembut terhadap isteri.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:“Mukmin yang paling sempurna adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik tehadap isteri-isterinya.” (Hadith riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh Albani)
Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, seseorang suami itu haruslah berakhlak baik, bersikap lembut dan tidak kasar terhadap isterinya. Hal ini kerana, suami yang bersikap kasar pasti akan menggugat kebahagiaan hubungan antara dirinya dengan isteri.
6. Suami sombong untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga.
Sesetengah suami sombong dan malas untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga. Disebabkan sikap ini, sesetengah isteri merasa dirinya terbeban dan tertekan. Marilah contohi Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dalam melayani isterinya Aisyah r.ha.
Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam di rumahnya, beliau menjawab:
“Beliau membantu pekerjaan isterinya & jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” (Hadith riwayat Bukhari)
7. Menyebarkan rahsia dan aib isteri.
“Sesungguhnya diantara orang yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan rahsia-rahsia isterinya.” (Hadith riwayat Muslim)
Dalam hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.
8. Sikap terburu-buru dalam menceraikan isteri.
Islam menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dan sebagainya. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan/mainan. Kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan RUJUK.” (Hadith riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan” oleh asy-Syeikh Albani)
Penceraian tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan. Bahkan harus diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan yang ditimbulkan dikemudian hari kelak.
Rasulullah sollallahu ‘alahi wasallam bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (Hadith riwayat Muslim)
9. Berpoligami tanpa memperhatikan ketentuan syari’at.
Bernikah untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah syariatkan. Tetapi, terdapat sebahagian orang yang ingin menerapkan syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri pertama dan anak-anaknya.
Dalam Surah an-Nisa, ayat 3, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.”
Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjurus kepada kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan masa depan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya dan perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum membuat keputusan.
10. Lemah kecemburuan terhadap isteri.
Para suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati dan dipertontonkan kepada bukan mahram. Dia membiarkan isterinya mendedahkan aurat ketika keluar rumah, dan membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki bukan mahram. Bahkan ada sebahagian suami bangga kerana memiliki isteri yang cantik dan boleh dinikmati oleh pandangan kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau dikhususkan untuk suaminya sahaja dan tidak sesekali ‘dijaja’ ke mana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki kecemburuan terhadap isterinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan dengan lelaki lain yang bukan mahram.
Perhatikan ancaman Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarga (isteri):
“Tiga golongan yang Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts.” (Hadith riwayat An-Nasa’i, dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah : 674)
Ad-Dayyuts(dayus) itu ialah LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Maka, marilah sama-sama kita beringat dan muhasabah diri sentiasa. Hal ini bukan hanya untuk para suami, malah penting juga untuk mereka yang belum menjadi suami, agar persediaan sebelum mendirikan baitul muslim itu lengkap.
والله أعلمُ بالـصـواب
Sumber: Syahirul
http://ibrah.hafism.com/kesalahan-dan-kesilapan-suami-terhadap-isteri/
Comments
Post a Comment